Sebab Anda Perlu Tahu Mengenai Harta Intelek
Ahad, Februari 05, 2017Berkesempatan menghadiri satu sesi santai yang dianjurkan oleh Tuan Azizul Al-Yafiee dan Tuan Mohd Nor Hafiz, pegawai daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). Sesi penerangan yang sangat santai dan penuh dengan ilmu. Kehadiran sepatutnya adalah 10 orang. Sesi PERCUMA, siapa yang nak hargai kan?
Gambar ihsan daripada FB Tuan Mohd Nor Hafiz
Sebab apa anda WAJIB tahu mengenai harta intelek?
Tuan Azizul ada memberitahu semasa kedatangan pihak US ke Malaysia sebelum ini, tempat pertama yang mereka lawati adalah MyIPO. Di sinilah terletaknya lubuk emas. Harta intelek.
Harta intelek melindungi perniagaan anda daripada diambil kesempatan oleh pihak ketiga. Takkan lah anda buat bisnes juta-juta, kemudian datang orang ketiga menyaman anda atas sebab kecuaian mendaftarkan cap dagangan. Kesannya, anda mungkin rugi atas sebab yang nampak remeh tetapi impaknya yang sangat besar.
Kata Tuan Hafiz pula, orang kita bila ingin memulakan perniagaan tempat pertama yang mereka pergi adalah SSM - untuk mendaftarkan perniagaan.
Tempat yang sepatutnya anda pergi adalah MyIPO. Daftarkan harta intelek dulu. Sebagai contoh, harta intelek cap dagangan boleh didaftarkan atas nama individu ataupun syarikat.
-->>MASALAH DUIT? Masalah duit memang alasan yang sangat popular sejak dari dulu lagi. Nah, MyIPO bagi Dana Harta Intelek 2017. Klik link tersebut untuk tahu prosedur permohonan. Dah tahu, teruslah mohon. Jika tiada logo (cap dagangan) lagi, hubungi kami.
Pesanan kepada usahawan
Sebelum anda mula mencari pereka grafik untuk desain logo, pastikan mereka mengetahui sedikit sebanyak mengenai garis panduan cap dagangan untuk membolehkan logo tersebut berjaya didaftarkan. Ada kes yang mana para usahawan sudah membayar sebanyak RM5,000 untuk menghasilkan satu logo yang profesional, tetapi malangnya logo tersebut tidak boleh didaftarkan.
Jika anda tidak ingin pening kepada, carilah pereka grafik yang sudah bekerjasama dengan konsultan harta intelek. Konsultan harta intelek akan menasihati apa yang boleh dan tidak sehingga logo berjaya didaftarkan.
Kes yang menarik
1. Seorang usahawan A telah disaman di mahkamah sivil atas sebab menggunakan nama cap dagangan yang sama walaupun mengetahui beliau yang mendaftarkan dahulu. Atas nasihat pegawai MyIPO, usahawan A mendapatkan khidmat peguam harta intelek dan berjaya melawan saman tersebut. Beliau berjaya mengelak kerugian yang dianggarkan berjuta ringgit.
Bayangkan jika beliau tidak mendaftar harta inteleknya?
2. Sebuah syarikat terpaksa membayar peratus keuntungan tahunan kepada pemilik yang mendaftarkan cap dagangan mereka. Akibat tidak mendaftar cap dagangan, pihak ketiga mendaftarnya terlebih dahulu. Dikatakan sejumlah ratusan ribu terpaksa dibayar.
Bayangkan anda di situasi seperti ini? Nak marah dah terlambat.
3. Sejenis pakaian popular yang dijual di Jalan TAR mendapat sambutan menggalakkan. Usahawan A membuat jenama sendiri untuk pakaian tersebut dan mendaftarkan desain itu. Hasilnya, hanya beliau seorang sahaja yang boleh menjual walaupun penjual lain tahu di mana tempat membuatnya. Pakaian lain yang dijual akan dirampas oleh pihak berkuasa.
Stok banyak dalam gudang kemudian dirampas. Nasi dah jadi bubur. Jadi, belajarlah ilmu harta intelek.
Kesimpulan
Harta intelek sangat bernilai walaupun anda masih belum memulakan perniagaan. Kos seperti pendaftaran cap dagangan sangatlah murah jika dibandingkan dengan kerugian yang bakal dialami. Dapatkan maklumat lanjut mengenai harta intelek terlebih dahulu sebelum anda membuat sesuatu. Hadirlah ke pejabat MyIPO jika anda mempunyai sebarang persoalan.
Janganlah sudah terhantuk baru nak terngadah, kan?
Sesi santai kali ini sangat bertuah kerana kedatangan Tuan Indera daripada INSKEN yang banyak memberikan input-input berguna.
Terima kasih.
Atiyya Azman
Your Packaging Designer
www.atiyya.my
0 ulasan