Brand Story (2): Bagaimana Mencarinya?
Isnin, Ogos 29, 2016Melalui jenama penceritaan ataupun brand story, sesuatu perniagaan akan kelihatan lebih asli, lebih berkaitan dan turut disukai ramai. Penceritaan menghubungkan pengguna dan jenama dengan lebih mendalam dan penuh makna secara tidak langsung memberi suatu kesan emosi positif kepada mereka.
Walau bagaimanapun, banyak klien yang saya temui tidak mengambil kisah akan kuasa penceritaan kepada pengguna, maka penceritaan yang dibuat sekadar memenuhi maklumat pada pembungkusan dan pelabelan mereka.
Ingatlah, setiap sesuatu mempunyai satu cerita untuk diberitahu. Cuma mungkin anda tidak menyedarinya atau tidak mengetahui cara untuk menterjemahkannya ke dalam satu tulisan.
Bagaimana mencari penceritaan? Beberapa persoalan yang perlu anda jawab.
Berikut beberapa persoalan yang boleh anda jawab sendiri dengan jujur:
- Apa tujuan utama perniagaan? Apakah penyebab anda terjun ke bidang ini sejak dari awal? Siapa sasaran perniagaan anda? Apa yang menyebabkan jenama anda menarik? Apa keunikannya yang lain dari lain? Apa masalah yang anda selesaikan?
- Sejarah anda? Bagaimana jenama anda bermula? Adakah disebabkan peristiwa yang menarik? Di mana premis pertama anda? Bila? Bagaimana perkembangan pada permulaan? Siapa pelanggan pertama anda dan apakah reaksi mereka?
- Siapa pemain utama? Siapa memulakan syarikat dan mengapa mereka? Apa peristiwa menarik ketika itu? Apa yang menjadi insipirasi untuk memulakan jenama/ perniagaan ini? Apa susah payah yang and hadapi?
- Apa misi dan visi syarikat? Apa tujuannya? Apa objektif utama? Siapa yang merangka kesemua misi dan bagaimana ianya dirangka? Misi dan visi adalah sangat penting. Bayangkan anda di dalam kereta ingin menuju ke satu destinasi yang tak pasti. Sudah pasti kerugian minyak berlaku. Jika misi adalah lemah dan kabur, ia akan memberi kesan kepada penceritaan.
- Apa nilai yang anda pegang? Nilai di sini bermaksud kepercayaan anda terhadap jenama. Jika anda membuat produk yang organik, nilainya adalah mesra alam. Jadi, nilai tersebut turut boleh diaplikasikan melalui pembungkusan produk contohnya.
- Bagaimana emosi pengguna anda? Apa yang mereka fikirkan mengenai jenama anda? Apa perkara terbaik yang mereka sebut? Yang teruk? Mengapa mereka membeli daripada anda? Apa yang menyebabkan mereka membeli semula?
- Bagaimana anda gagal? Kegagalan selalunya memberikan penceritaan yang terbaik. Tanya diri anda bagaimana anda gagal dan kaedah mengatasinya. Jujur pada diri sendiri. Di sini anda mempunyai peluang untuk mencipta hubungan emosi yang sebenar dan jujur.
Kesimpulan
Jujur dalam mencari penceritaan terhadap jenama anda. Kejujuran melahirkan suatu emosi yang tulen dan kesannya dapat dirasai oleh pengguna sama ada ianya jujur atau sebaliknya.
Terima kasih.
Atiyya Azman
Your Packaging Designer
0 ulasan