Pasaran Untuk 'Senior' Dalam Industri F&B

Rabu, November 09, 2016

Gambar ihsan Pressfoto / Freepik
PENGENALAN

Mereka adalah pengguna kumpulan umur yang paling pesat berkembang di seluruh dunia. Mereka mempunyai pendapatan yang tinggi, dan kuasa beli yang semakin tinggi. Kumpulan ini mementingkan kualiti serta lebih 'setia' terhadap jenama yang mereka percayai.

Merekalah senior, kumpulan yang berumur 60 tahun dan ke atas (di Malaysia mungkin kumpulan umur 50 tahun sehingga 60 tahun boleh diambil kira). Golongan senior memiliki perspektif kehidupan yang sangat berbeza berbanding dengan golongan muda. Lebih menarik, mereka mempunyai masa yang banyak. Wang juga banyak untuk dibelanjakan pada produk yang disukai!



SIAPA SENIOR?

Tidak ada definisi khas dalam menentukan siapakah mereka. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), orang yang baru berumur 55 tahun di Turki dikategorikan sebagai 'senior', manakala di Spain, umurnya pada 73. Bahasa ringkas, golongan ini telah mencapai kemuncak dalam kehidupan dan mempunyai keperluan berbeza untuk produk makanan dan minuman berbanding dengan generasi muda.

TABIAT PENGGUNA UNTUK SENIOR

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Tetra Pak, tabiat pengguna oleh golongan senior adalah berbeza dengan pengguna lain. Dikatakan mereka membelanjakan 20% daripada pendapatan untuk makanan dan minuman. Tabiat mereka sebagai contoh:

1. Mereka selalu membeli, dan membeli kategori produk berbeza.
2. Mereka cenderung untuk membeli belah di tempat berdekatan dengan rumah, ataupun kedai kecil.
3. Mereka lebih setia dan mencari kualiti.

JADI, APA GUNA KAJIAN INI UNTUK PARA USAHAWAN?

Peluang untuk memberi pilihan kepada mereka. Tetra Pak menyenaraikan antara ciri-ciri makanan dan minuman yang boleh disasarkan kepada pasaran senior.

1. Menawarkan produk dengan ramuan yang berkhasiat
Senior patuh kepada nilai sihat dan kehidupan berkualiti. Tidak hairanlah kebanyakan mereka menolak untuk memakan makanan segera. Di sini terdapat pasaran unik yang memfokuskan kepada semula jadi, sihat, organik untuk kehidupan yang berkualiti.

2. Pengambilan mineral tambahan dan vitamin 
Boleh dikatakan golongan ini yang banyak mengambil supplement tambahan untuk badan. Makanan yang diperkaya dengan mineral tambahan dan vitamin menggalakkan tulang lebih kuat atau proses penghadaman yang lebih baik.

3. Menghasilkan produk kurang garam, gula, kalori dan lemak
Menawarkan produk seperti ini diibaratkan sebagai satu peluang besar dalam memberi pilihan kepada golongan senior.

DARIPADA SUDUT PEMBUNGKUSAN

Pembungkusan (packaging) memainkan peranan yang cukup besar dalam menarik minat golongan senior untuk membeli. Pembungkusan perlulah mesra pengguna kepada gaya hidup mereka.

Pembungkusan yang ideal untuk golongan berduit ini:

1. Senang dibuka.
2. Ringan supaya senang dipegang.
3. Pembungkusan yang memberi jangka hayat panjang, membantu mengurangkan tempoh membeli belah kembali.
4. Desain pembungkusan yang mudah dibaca, imej yang menarik dan informasi label yang jelas.
5. Maklumat nutrisi dan tarikh luput produk perlu diperlihatkan lebih menonjol.

Hanya 1% daripada inovasi global disasarkan kepada senior. Apapun, merekalah kumpulan pengguna yang penting. Ambillah peluang dan bertindak sekarang.

Terima kasih.

*Artikel ini adalah hasil rumusan daripada kajian Tetra Pak (Spending power of ‘Seniors’ to hit US$10tn by 2020: how the food and drink industry can attract the over 60s)

You Might Also Like

0 ulasan