Jenama Sendiri atau Jenama Orang Lain?

Ahad, Jun 11, 2017

Catatan kali ini ditulis berdasarkan perbualan bersama dengan seorang klien yang kami hormati. Beliau mengambil masa selama 7 tahun sebelum mengambil keputusan untuk memulakan produk jenama sendiri. Sebelum memulakan jenama sendiri, segala penat lelah, susah payah telah ditempuhi. Antaranya, beliau terpaksa tinggal di rumah kedai selama 7 tahun sehingga terdengar suara-suara sinis daripada saudara mara berkenaan kehidupannya.

Bermodalkan sebanyak RM160, beliau menjual produk yang tanpa disangka-sangka mendapat sambutan daripada orang ramai. Bermula daripada situ baru membuat jenama sendiri setelah melihat pasaran yang sangat besar.

Kini, jualan beliau boleh mencapai sehingga 6 angka sebulan. Atas faktor kejayaannya itu, kami mendapatkan nasihat beliau berkenaan kaedah yang digunakannya.

Salah satu perkara yang dibincangkan yang sangat menarik untuk dikongsi adalah berkenaan jenama.

Jenama Sendiri vs Jenama Orang Lain



Untuk yang baru bermula berniaga, beliau menyarankan untuk menjual dahulu produk orang lain. Hujahnya:

1. Sudah Ada Nama

Produk yang sudah mempunyai nama di pasaran mudah untuk dijual. Pelanggan sudah mengetahuinya. Jika membuat jenama baru, anda perlu mengambil masa yang panjang untuk memperkenalkannya kepada pelanggan.

2. Kos Yang Rendah

Jenama yang sudah ada nama dapat menjimatkan kos anda. Anda tidak perlu bersusah payah mengeluarkan bajet untuk pemasaran atau penjenamaan. Di samping itu, HQ produk kebanyakannya akan membantu anda daripada segi alatan pemasaran.

3. Pasaran Sama

Katakan anda ingin membuat produk kecantikan jenama sendiri. Sudah tentu anda perlu berlawan dengan jenama lain untuk mendapatkan pasaran yang sama. Bajet kewangan yang tinggi diperlukan untuk mendapatkan pasaran yang sama. Melainkan ada mempunyai bajet yang besar dan produk tersebut adalah unik berbanding produk lain.

4. Objektif Yang Sama

Objektif terakhir membuat produk tak lain tak bukan adalah untuk mendapatkan jualan. Jadi, mengapa membuat jenama sendiri jika jenama orang lain pun sudah boleh membantu anda mendapatkan objektif yang sama.

Kesimpulan

Untuk usahawan yang baru bermula yang mempunyai bajet kecil untuk penjenamaan, mulalah dengan menjual produk orang lain terlebih dahulu. Jika anda ingin membuat produk kecantikan suatu hari nanti, jual dahulu produk orang lain. Daripada situ, dapatkan maklumbalas pelanggan berkenaan produk kecantikan yang mereka inginkan. Bagaimana yang pasaran mahukan. Siapa sasarannya nanti. Maklumat-maklumat ini berguna untuk produk baru yang anda ingin keluarkan nanti.

Masih ingin membuat jenama sendiri?

Gunakan kaedah ini. Sewa penjenamaan produk orang lain yang sama industri dengan anda. Nilai sewa yang dipersetujui itu tidak patut dilihat sesuatu yang membebankan jika anda sudah mendapat nilai pasaran daripada jenama yang digunakan nanti.

Terima kasih.

P/S: Segala pandangan yang dilontarkan adalah pendapat peribadi penulis.

You Might Also Like

0 ulasan